Hari Yang Sempurna
Ada satu hal yang paling tidak suka saya fikirkan, kisahkan, dan bualkan. Ya, hal tentang wang, duit, atau apa saja yang berkenaan dengannya. Jangan salah faham, bukan saya tidak sukakan wang (siapa yang tidak?) tetapi bagi saya hal itu amat bosan untuk dikisahkan.
Amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan ibu saya, seorang yang menghabiskan hampir seluruh hidupnya di bank. Dari kerani, ke pegawai, ke pengurus, dia tetap di tempat yang dipenuhi wang itu. Sudah tentu, hal percakapannya juga tidak pernah lari dari soal wang, hutang, pelaburan, pinjaman, deposit, defisit, debit kredit dan entah apa bala lagi hal-hal yang seangkatan dengannya; hal yang saya paling benci untuk kisahkan.
Barangkali juga saya tidak suka hal itu kerana saya tidak betah dengan angka. Ya, saya tidak suka mengira sungguhpun saya tidaklah bodoh benar dengan ilmu hisab. Cumanya saya malas hendak ambil pusing tentang aturan perkara “berapa”. Seboleh-bolehnya mahu sahaja saya tinggalkan hal mengira itu kepada orang lain.
Itu soal mengira, ini soal wang pula. Ah hati saya menggerutu sendiri melihat sesetengah manusia yang terlalu mengagungkan wang dalam hidupnya, hingga tidak ambil pusing lagi tentang halal haram; asalkan hasilnya duit berkepuk-kepuk; kemudian ditunjuk-tunjuk kepada semua, “Mari ikut saya, kita sama-sama kaya, duduk rumah goyang kaki, duit anda boleh membiak sendiri, cuma saja anda perlu bayar kepada saya dahulu begitu begini”. Ramai yang mengikut, dan ramai yang berjaya. Saya sedar tentang itu, cuma saya sengaja tidak mahu setuju tentang hal itu. Hal duit membiak sendiri berkepuk-kepuk hanya dengan bergoyang kaki. Saya tidak mahu duit seperti itu.
Duit bagi saya hanya alat tukaran sahaja. Saya menguruskan wang dengan cara yang amat mudah, cara timbal-balik ibarat neraca. Jika saya mahu beli ini, saya jangan beli itu supaya saya boleh beli yang ini. Itu sahaja. Eh, saya tak bermaksud cara saya ini betul. Selalu saja saya kesempitan wang dek kerana malas mengira. Sekurang-kurangnya tidak pula saya mati kelaparan atau menyusahkan orang lain, pinjam wang merata, atau hubungi kawan lama semata-mata untuk menariknya masuk ke dalam “skim kehamilan wang”, “piramid duit” atau seangkatan dengannya.
Apapun saya akui dunia kini memang mementingkan wang. Semuanya mahal-mahal belaka, salahkan minyak yang naik harga (atau anda juga boleh salahkan perdana menteri kelima yang tidak pandai mengira). Saya juga mula terkesan dengannya, apatah lagi sejak bermulanya fasa baru dalam hidup saya, yang mana saya perlukan berpuluh-puluh ribu untuk “hal-hal itu” sedangkan pedapatan saya tidaklah seberapa. Ah, sesak rasa dada bila terfikir tentangnya. Alangkah bagusnya jika saya dapat tukarkan kebolehan yang saya ada dengan sedikit wang buat pelega hati jika tidak pun untuk kaya… tapi… apalah yang saya ada. Hanyalah sedikit bakat dalam bidang seni, sedikit ilmu dalam bidang IT, tulisan-tulisan aneh seperti ini dan jiwa yang tidak sekuat mana. Duit… benci saya mahu fikir tentang itu. Barangkali solat sunat dhuha lebih baik dari skim yang bukan-bukan. Oh Tuhan, bukakanlah sedikit pintu rezeki-Mu untukku, atau setidak-tidaknya kuatkanlah hatiku, tenangkanlah jiwaku…
Teringat saya dengan iklan iban kegemaran saya, “Duit bukai semua utai… ingat tok? Auk indai.. “
*Maaf jika tersalah eja, saya tidak pernah belajar bahasa iban.
*Ini hanya pendapat peribadi saya sahaja, tidak bermaksud menyinggung atau menghasut mana-mana pihak.
_____ “Ini semua salah awak!” bentak Syuda. Nafasnya masih lagi turun naik dek kerana semput mengejar komuter. Nasib baik sempat, itupun setelah Ilham menekat punat hijau di tepi pintu komuter agar pintu automatik yang sudah tertutup itu dibuka semula.
_____ “Betullah tu,” ucap Ilham selamba. Perlahan-lahan tubuhnya disandarkan pada tempat duduk komuter yang sudah tentunya dipenuhi kuman dan peluh manusia. Huh, persetankan.
_____ Syuda menghela nafasnya. Ah… bagaimana dia boleh membuat keputusan sebodoh itu? Tanpa berfikir panjang terus sahaja dia mengunci laci meja yang dipenuhi wang bayaran masuk tandas itu, mencampakkan kunci ke dalam pasu bunga, dan berlari mengikut Ilham mengejar komuter di seberang. Bodoh, bodoh, bodoh! Syuda menyumpah-nyumpah dirinya sendiri.
_____ “Relakslah kawan… seronok kan jadi orang muda? Hahaha…” kata-kata Ilham itu menambahkan lagi amarah dalam hati Syuda. Kalau diikut kata hatinya, mahu saja dilempangnya perempuan itu.
_____ “Nasib baik saya pakai Touch `n Go, kalau tak entah macam mana saya nak cari tiket,” dilayur-layurkan kad berwarna biru itu di hadapan muka Ilham seolah-olah Syuda mahu menjampi wajahnya. Ilham hanya diam, memerhatikan indahnya alam yang berlalu laju di luar tingkap.
_____ “Ilham, boleh saya tanya sesuatu?” ujar Syuda kepada gadis yang sedang melayan perasaan di hadapannya.
_____ “Lima puluh sen,” jawab Ilham yang masih memusatkan pandangannya ke luar tingkap.
_____ “Lima puluh sen?” Syuda pula tercengang-cengang mendengar jawapan itu. “Lima puluh sen apa?” sambungnya lagi.
_____ “Satu soalan lima puluh sen, lima puluh sen…” Ilham menyanyikan lagu lima puluh sen pula dengan jawapannya itu. Entahkan untuk bergurau atau apa, tetapi riak mukanya serius sahaja.
_____Syuda mengetap bibir. Satu soalan lima puluh sen? Itu sudah dikira mahal. Bayaran masuk ke tandas jagaannya pun baru dua puluh sen sahaja. Ah, tak jadilah nak tanya soalan. Lebih baik wang itu digunakan untuk membeli buah jambu potong di luar sana nanti. Emm buah jambu potong dengan kuah rojak Mak Bee… Syuda terliur sendiri melayan imaginasinya.
_____Stesen Kuala Lumpur. Ilham berjalan laju menuju ke arah pintu keluar stesen komuter setelah melekapkan kad Touch n Go miliknya, manakala Syuda berlari-lari anak mengejar sahabatnya itu.
_____ “Ilham! Tunggu!!!” pekik Syuda sambil tercungap-cungap menahan semput.
_____ “Umur baru suku abad dah semput-semput mak cik?” usikan Ilham itu dibalas dengan cebikan oleh Syuda.
_____ “Awak jalan laju sangat! Nak ke mana sebenarnya?”
_____ “Aku nak jumpa harimau…” jawab Ilham selamba. Harimau? Syuda tercengang lagi.
_____‘Tit! Tit! Tit!’ bunyi Ilham menekan punat-punat di mesin murah hati itu. Ceh, bank harimau rupanya. Syuda mencebik lagi. Sambil menunggu Ilham, dia membelek-belek majalah hiburan yang dipamerkan di kedai buku bersebelahan bank itu. Terpampang di muka hadapan majalah itu wajah ayu Anis Suria, artis wanita paling popular tahun ini. Manakan tidak, dialah artis pertama yang berjaya merampas takhta Siti Nurhaliza Taruddin sebagai artis wanita paling popular pada anugerah ABPBH dua minggu lepas. ‘Anis Suria sudah bersedia’, demikian tajuk di muka hadapan itu.
_____ “Jom!” ajakan Ilham itu telah membantutkan niat Syuda untuk membaca artikel berkaitan Anis Suria tadi. Lalu majalah yang hampir lunyai itu diletakkannya kembali, diikuti sorotan mata tuan empunya kedai yang memerhatikan perlakuan Syuda sejak tadi.
_____Syuda hanya mampu mengikut ke mana sahaja Ilham pergi, dari celah-celah bangunan Dayabumi hinggalah ke kawasan sesak Pasar Seni. Ikut sahaja, jangan banyak tanya. Satu soalan lima puluh sen.
_____Sedang asyik mereka memerhatikan pelukis-pelukis jalanan di Pasar Seni sedang mempamerkan bakat masing-masing, tiba-tiba Ilham terkaku sebentar, menumpukan pendengarannya ke suatu arah di belakang kedai.
_____ “Syuda, kau dengar tak apa yang aku dengar?” katanya sambil berjalan menuju ke arah longgokan sampah di belakang deretan kedai lukisan tersebut.
_____ “Dengar apa?” tanya Syuda yang hanya memerhatikan Ilham mencari-cari sesuatu di situ. Sayup-sayup, Syuda terdengar bunyi yang diperkatakan Ilham itu. Bayi menangis!
_____ “Hei kau buat apa tu!!!” bentak Ilham tiba-tiba ke arah tong sampah besar di hadapan mereka.
Soalan :
Apakah yang akan dilakukan oleh Ilham dan Syuda seterusnya? (Soalan subjektif)
Adakalanya saya rasakan bahawa, saya dilahirkan untuk ditemani kesepian. Barangkali rasa ini hanyalah hasilan melankoli tatkala saya sendirian begini namun… ah entahlah. Terlebih dahulu, maafkan saya kerana telah lama membiarkan blog ini usang tanpa sebarang entry. Salah saya, kerana menikmati waktu dua bulan lepas yang merupakan antara saat terindah dalam hidup saya. Sesingkat saat itu sempatlah saya merasai betapa gahnya rasa gembira, berteman, punya seseorang untuk saya berkongsi rasa. Sayang, detik itu tidak lama… kini saya harus terus menanti untuk tahun yang ke-7.
Barangkali memang benar tulisan saya sebelum ini, saya sebenarnya menulis kerana sepi. Nah, kini saya sendirian melayan pilu, berteman air jernih di kelopak mata tatkala irama sayu beralun di gegendang telinga. Apalah daya saya, hanya mampu merelakannya pergi, demi sebuah janji yang dia akan terus setia. Apa janji itu akan termakbul atau tidak; biarlah masa menjadi saksi segalanya.
Maaf, dek sudah lama sekali tidak menulis, saya tidak betah lagi berbicara melalui aksara sebegini. Tidak pula bermakna saya sudah fasih melisankan kata. Saya… ah saya rasa Facebook telah banyak merenggut bakat yang ada pada saya. Hanya di sana sahaja hidup saya sejak kebelakangan ini. Saban waktu saya hanya menunggu di hadapan monitor, menunggu entah bila sahabat-sahabat lain akan menambah paparan status seolah-olah itulah sahaja yang terpenting bagi saya. Ah, sudahlah. Sudah tiba masanya, saya rasa bosan.
Tidak banyak yang berlaku kepada saya sejak kebelakangan ini. Jika ada pun saya rasa tidak ada apa pun yang penting. Sedangkan kepadanya pula seminggu dua ini ada peristiwa penting dalam hidupnya. Nah, pastinya kala ini hidupnya sangat mengujakan di kala saya kebosanan dan melayan air mata sendirian, meratap entah untuk apa, barangkali perhatian.
Sepi dan rindu - tidak ada apa lagi yang boleh saya perkatakan tentangnya. Hanya mereka yang pernah melalui sahaja yang akan faham, bagaimana rasanya di dalam hati tatkala saya menatap wajahnya buat kali yang penghabisan…
Adakalanya saya merasa rindu; rindu dengan tulisan saya sendiri. Barangkali saya orang yang aneh untuk berperasaan sebegitu. Anggapan saya, saya adalah seorang yang suka berkarya. Bila tidak dapat berbuat begitu saya resah, entah mengapa, mungkin juga tuntuntan naluri saya sendiri. Seni dalam jiwa saya terasa bercabang-cabang sekali. Saya sukakan hampir segalanya; seni lukis, kraftangan, mengarang, senireka grafik, seni animasi, bunyi-bunyian, malah seni jahitan dan sulaman juga saya suka. Malang sekali, sungguhpun saya berminat dengan seni tari dan lakonan, saya tidak berpeluang mendalami ilmu itu. Seni silat juga tidak begitu lekat pada saya dek kerana lemahnya fizikal saya. Ah, untuk tubuh yang cukup sifat ini pun saya sudah seharusnya syukur.
Malam ini sekali lagi saya terasa ingin menulis, tetapi tidak tahu apa yang ingin saya tuliskan. Maka saya taipkan sahaja apa yang terlintas di minda ketika ini, sambil saya melayan chat dengan si jantung hati yang baru sehari bergelar doktor dan merasa bahangnya cuaca malam ini. Hmm… masih lagi kering idea. Ah teruskan membebel.
Menurut pakar-pakar karya tulisan, terdapat beberapa sebab mengapa seseorang itu menulis. Ada yang menulis kerana wang, menulis untuk suka-suka, menulis kerana gembira, menulis kerana sedih, menulis kerana naluri dan… entahlah. Tidak berminat saya menghafal perkara-perkara seperti itu. Saya menulis kerana apa? Agaknya kerana saya rasa blog ini perlu diisi selalu… barangkali.
Seringkali apabila saya merasakan ilham itu ada, suatu suara (biasanya suara saya sendiri) akan terngiang-ngiang di kepala saya, menceritakan suatu kisah, atau pengalaman barangkali, dan saya menyambung-nyambung cerita dari suara-suara itu. Saya mengembangkannya, memerah otak untuk menjadikannya cerita yang logik dan harapnya lebih bagus dari cerita hindustan atau drama Melayu di TV3. Adakalanya saya berpuas hati juga, tetapi seringkali juga saya rasa gagal. Nah, bila suara itu tiada dan saya cuba menulis terus sahaja maka jadilah seperti tulisan ini, panjang tetapi tiada isi. Suara-suara? Ah seram pula bunyinya. Teruskan membebel.
Sejak akhir-akhir ini saya lebih banyak bercakap berbanding dahulu, terima kasih kepada rakan-rakan sepejabat yang sentiasa bergegak gempita dengan ketawa. Agaknya mungkin juga bila mulut sudah berbicara, hati dan minda sudah tidak punya apa lagi untuk dikongsikan. Segalanya sudah terluah di saat ianya berlaku. Jadi mungkinkah dapat disimpulkan, saya sebenarnya menulis kerana sepi? Entahlah.
Tergaru kepala saya memikirkan sambungan tulisan ini. Ah, sudahlah.
Jika minda saya adalah sebuah bilik, mungkin apa yang anda akan nampak di dalam bilik itu adalah barang-barang yang bersepah dan tidak tentu tempat letaknya. Ada yang terjaga dan ada yang berhabuk, ada yang bertukar-tukar tempat dan ada yang seperti biskut; sekejap ada, sekejap lesap. Minda saya celaru. Seperti komputer saya yang sudah lebih 3 tahun tidak pernah defrag, minda saya juga agaknya begitu. Serabut.
Sejak akhir-akhir ini saya menjadi semakin pelupa. Contohnya saya terfikir mahu membeli sesuatu lalu saya keluar, kemudian saya terlupa; kenapa saya keluar? Lebih teruk lagi, saya terlupa menutup suis lampu malah terlupa menutup pili air setelah membasuh tangan! Tetapi dalam keadaan begini saya sering teringat semula perkara-perkara kecil yang sudah sepatutnya saya lupakan.
Tidak semena-mena saya teringat bagaimana perasaan saya menjadi seorang pengawas perpustakaan bertali leher biru muda yang bertugas mengecop buku di belakang kaunter peminjaman;
Saya teringatkan kisah-kisah yang diceritakan oleh arwah nenek saya sebelum saya tidur setiap malam;
Saya teringatkan nikmatnya air kelapa 50sen yang saya singgah beli setiap kali pulang berbasikal dari sekolah;
Saya teringatkan melodi tabung gajah yang berbunyi setiap kali saya jolokkan pembaris ke dalamnya;
Tertanya-tanya saya, bagaimana agaknya saya boleh teringatkan perkara-perkara kecil seperti itu sedangkan saya terlupa apa yang sepatutnya saya ingat? Lalu saya sendiri menjawab: Barangkali memori itu picunya emosi. Saya mungkin telah lupa bagaimana zahirnya detik-detik itu tetapi rasa yang terlahir dalam hati pastinya tetap berbekas di situ sampai bilapun - seperti perasaan bangga saya dapat berkuasa meminjamkan buku perpustakaan kepada orang, seperti rasa kasihnya saya kepada nenek yang tetap bercerita walaupun mengantuk, saya takkan lupa rasa itu.
Nanti kejap, kenapa tajuknya Random Access Memory ya? Rasanya ada sesuatu yang penting ingin saya tuliskan tadi… Maaf, saya terlupa.
Pada suatu tarikh dan masa yang tidak diketahui secara tepatnya, di dalam sangkar yang baru dibasuh, di atas serbuk kayu yang baru ditukar, dengan bekas air yang masih penuh dan makanan yang banyak di tingkat atas, akhirnya seekor hamster telah menyerah kalah kepada hidup.
Dia pergi bukan kerana tidak cukup makan atau kurang air, mungkin tidak kerana penyakit. Melankoli telah meragut jiwanya, sepi telah membunuhnya.
Dia pergi kerana rindukan tuannya…
_____“Nanti! Itu tandas perempuan!!!” pekik gadis itu lagi. Ilham berhenti sejenak, mengalih pandangannya ke arah gadis itu.
_____“Eh, Ilham?” ucap gadis itu tatkala pandangan mereka bertembung.
_____ Ya, gadis itu memang dikenalinya. Tetapi dalam keadaan begitu dia tidak mampu berkata panjang, lantas dia hanya tersengih ibarat emoticon Yahoo Messenger sambil mengangkat tangan isyarat kenal, dan terus menerjah tandas yang bertulis “PEREMPUAN” di atas pintu masuknya.
_____ Selesai hajat. Lega rasanya. Gadis penjaga tandas bertudung biru itu dilihatnya sedang tersenyum tatkala dia melangkah keluar dari pusat pelaburan itu.
_____“Maaflah, saya tak perasan awak tadi,” ucap gadis itu sebaik Ilham mengambil duduk di sebelahnya. Ilham tersengih lagi. Dia tidak hairan kenapa gadis itu menegurnya begitu.
_____“Tak apa, aku dah biasa. Wah, dah lama kita tak jumpa kan, Syuda? Kau bagaimana sekarang?” tanya Ilham kepada gadis yang dipanggilnya Syuda itu. Sudah lama betul mereka tidak berjumpa, rasanya kali terakhir ialah ketika mereka mengambil keputusan SPM dahulu… Oh tidak, kali terakhir ialah ketika mereka sama-sama diraikan sebagai pelajar cemerlang SMKTB dahulu… Agaknyalah. Ilham menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
_____“Bagaimana apa?” tanya Syuda pula. Ilham mengerutkan dahinya.
_____“Syuda… Syuda… masih belum berubah kau ya?” kata-katanya berbalas cebikan oleh rakannya itu.
_____Syuda memandang Ilham atas bawah. Uh, Ilham juga masih belum berubah baginya. Masih lagi dengan jeans lusuh, baju kemeja kotak-kotak beralaskan t-shirt kosong, sepasang kasut sukan, dan beg galas yang dipenuhi keychain bergantungan. Entah dari mana dan sejak bila dikutipnya. Lihat pula potongan rambutnya, masih pendek juga seperti dulu.
_____ Syuda menepuk-nepuk bahu rakannya itu lalu berkata, “Awak pun tidak berubah apa-apa, Nurul Ilham Binti Hashimi…”
_____“Amboi, nama ayah aku pun kau masih ingat ya Syaheera Syuhada Binti Shah Erhan?”
_____ Mereka sama-sama ketawa. Ya, Ilham memang seorang perempuan yang suka berpakaian seperti lelaki. Tetapi dia tidak pula bermaksud untuk meniru gaya lelaki, atau menjadi tomboy, apatah lagi pengkid. Dia pakai apa yang dirasakannya selesa. Dia berambut pendek kerana rimas berambut panjang. Cuma entah mengapa suaranya kasar sedikit, dan cara jalannya juga mirip seorang lelaki. Mungkin sudah kurniaan Tuhan… Maka tidak hairanlah di sekolah dahulu dia sering mendapat peminat misteri dari kalangan perempuan dek kerana wajahnya itu yang kelihatan seolah-olah pelakon lelaki Korea yang comel. Comel? Hish…
_____“Syuda, kenapa kau kerja kat sini? Kan kau pelajar cemerlang dulu?” soalan Ilham itu lambat-lambat dijawabnya. Bukan kerana apa, dia sebenarnya sudah bosan ditanya soalan yang sama berulang-ulang kali.
_____“Saya baru berhenti kerja sebagai eksekutif,” jawab Syuda separuh mahu.
_____“Kenapa?”
_____“Bosan”
_____ ‘Perhatian para penumpang. Tren ke Rawang akan tiba dalam masa lima minit lagi. Terima kasih.’ Suara itu berkumandang lagi. Sedap betul rasanya berborak dengan rakan lama hinggakan tidak sedar waktu yang pantas berlalu.
_____Ilham memegang erat tali beg galasnya lalu berdiri, bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada gadis bertudung biru di hadapannya.
_____“Syuda, aku pergi dulu”
_____“Awak nak pergi KL buat apa?”
_____“Jalan-jalan”
_____“Jalan-jalan?”
_____Ya, Ilham hanya mahu jalan-jalan. Dia mahu menikmati zaman mudanya dengan berjalan-jalan melihat indahnya alam. Mungkin tidak semua bahagian alam itu cantik, tetapi pasti ada indahnya. Tidak perlu sebarang kamera untuk merakam keindahan alam yang dilihat, kerana baginya tidak ada lensa yang lebih baik daripada lensa di dalam matanya.
_____“Aku pergi dulu, Syuda… Jumpa lagi,” ucap Ilham sebelum melangkah, tetapi langkahnya terhenti seketika, lalu dia berpaling ke arah gadis penjaga tandas itu.
_____“Mahu kau ikut aku?” Syuda tercengang mendengar ajakan Ilham itu. Mana mungkin…
_____“Tapi… Saya sedang bekerja!” tegasnya sambil menyambut wang 20 sen yang diberikan seorang pengunjung tandas tersebut.
_____Kepala komuter mula kelihatan lagi di hujung sana. Ilham maju setapak dua, merapati Syuda lantas ditariknya tangan rakan itu hingga terbangun dia.
_____“Syuda, hanya orang muda boleh buat perkara yang tidak masuk akal. Kau masih muda bukan?”
Soalan:
1. Adakah Syuda akan mengikut Ilham berjalan-jalan?
a) Ya
b) Tidak
c) ____________________ (Subjektif)2. Berapakah umur Ilham dan Syuda?
a) 20-23 tahun
b) 23-25 tahun
c) 25-28 tahun
d) ____________________ (Subjektif)3. Apakah yang akan Ilham/mereka temui ketika jalan-jalan nanti?
a) Lelaki yang membuang bayi ke dalam tong sampah.
b) Datuk yang baru pulang dari disko dangdut.
c) Harimau.
d) Makcik buta bertudung putih.
e) Ayah Ilham.
f) Siti Nurhaliza Binti Tarudin.
g) ____________________ (Subjektif)